Kesan Pujian Ke Atas Mindset Anak

Kesan Pujian Ke Atas Mindset Anak

Pakar Psikologi dari Universiti Stanford, Professor Carol Dweck (PhD) telah melakukan kajian ke atas sekumpulan pelajar sekolah berumur antara sembilan dan sepuluh tahun. Peringkat permulaan, setiap pelajar diberi tugasan menyusun set puzzle yang mudah. Selepas berjaya, mereka akan diberikan pujian yang berbeza.
 
Ada pelajar dipuji ke atas kebolehannya dengan ayat, “Wah! Bijaknya kamu”. Ada pelajar dipuji ke atas usahanya dengan ayat,
Wah! Kamu dah berusaha sungguh-sungguh”. Untuk tugasan berikutnya, mereka diberi set puzzle yang jauh lebih sukar dan para pengkaji memerhatikan perubahan pada tahap keyakinan diri dan motivasi pelajar.
 
Semasa membuat tugasan sukar itu, adakah pelajar rasa aku memang tak pandai dan akan hilang minat atau adakah mereka kekal yakin, bermotivasi dan terus berusaha mencari jalan untuk menyelesaikan puzzle tersebut. Kemudian pelajar ditanya, jika diberi tugasan sekali lagi, adakah mereka pilih set puzzle yang mudah atau yang sukar. 
 
Secara umumnya, pelajar yang dipuji ke atas kebolehannya cenderung memilih set puzzle yang mudah. Mereka menunjukkan ciri-ciri Mindset Kekal (Fixed Mindset) di mana mereka percaya kepandaian itu telah ditetapkan dan tak boleh diubah. Pada mereka, kesusahan yang dilalui semasa menyelesaikan set puzzle yang susah itu memberi maksud diri mereka tidak bijak dan mereka rasa diri mereka lemah dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan.
 
Sebaliknya, pelajar yang dipuji ke atas usaha secara umumnya memilih tugasan yang sukar sebab mereka suka cabar diri untuk jadi lebih pandai. Mereka menunjukkan ciri-ciri Mindset Berkembang (Growth Mindset). Mereka percaya siapa pun diri mereka, mereka sentiasa ada peluang untuk jadi lebih pandai jika mereka terus berusaha. Mereka ‘rasa pandai’ bila ada kemajuan (progress) semasa sedang berusaha bersungguh-sungguh menyelesaikan tugasan yang sukar.
 
Pada mereka, tugasan yang sukar itu adalah peluang mencabar diri dan mereka rasa pandai bila dapat melakukan tugasan yang sukar itu. Kesimpulannya, walaupun umumnya pujian itu bagus, namun pilihlah pujian yang boleh membina mindset berkembang kerana mindset berkembang akan sentiasa memandu pemiliknya untuk berjaya.